Review Filem: Little Man
FILEM: Little Man
PENGARAH: Keenan Ivory Wayans
PELAKON: Marlon Wayans (Calvin), Linden Porco (Badan
Calvin), Gabriel Pimental (Calvin (Body), Shawn Wayans (Darryl), Tracy
Morgan (Percy), Kerry Washington (Vanessa) dll.
GENRE: Aksi komedi
Marlon Wayans membawa watak orang kerdil Calvin Sims yang kerjanya
mencuri barang kemas. Dia berpura-pura menjadi bayi kecil yang
kelihatan memang mengarut. Ceritanya bermula apabila Calvin terjebak
dalam penyamaran itu selepas merompak sebuah kedai barangan kemas
bersama rakan (rapper wannabe) Percy P. Mereka baru saja berjaya
mencuri berlian bernilai RM360,000 (AS$100,000). Semua itu atas arahan
ketua penjahat besar di Chicago, Chazz Palminteri. Akibat dikejar
polis, dan mahu melepaskan diri Calvin sempat menyorokkan berlian curi
itu ke dalam beg tangan seorang eksekutif muda meningkat naik Vanessa
Edwards (Kerry Washington).
Vanessa dan suami, Darryl (Shawn Wayans), baru saja berbincang
mengenai rancangan untuk mempunyai anak. Percy mendapat idea untuk
membuat penyamaran. Idea itu ialah Calvin menyamar menjadi bayi dan
ditinggalkan di hadapan rumah pasangan Vanessa untuk mengambil semula
berlian itu.
Apa yang membuatkan filem ini manarik untuk ditontoni ialah
aksi-aksi bayi tersebut yang memang jauh menyimpang dengan perilaku
seorang bayi normal. Peralihan Calvin dari seorang samseng menjadi bayi
itu memang melucukan. Walaupun tidak berapa logik jika difikir oleh
akal yang waras sebagai contoh bagaimana boleh semua orang dewasa dalam
filem ini tidak perasan atau endah dengan betapa peliknya sifat dan
kelakuan Calvin. Cuba bayangkan, mana ada bayi yang giginya penuh,
malah doktor yang memeriksa pun boleh tidak perasan keganjilan itu.
Walaubagaimanapun, filem ini memang seronok untuk ditontoni.
